Assalamu'alaikum..
"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi  (orang New Zealand), semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan  universiti.
 "Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.
 "Cheers!" Dia membalas.
    Dalam satu kejadian lain,
 "Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta  seorang makcik.
 "Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan  kepada makcik yang meminta.
 "Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana  dipanggil 'love'!Sweet lah makcik ni~
 Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa  yang tertentu, telinga saya menangkap setiap butir bicara yang  dikeluarkan oleh orang sekeliling. Kemudian, saya berfikir dan menilai,  lantas belajar tentang erti kehidupan.
 *****
 Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.
 "Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat  berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.
 Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.
 "Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah,  mahupun mengarah. Saya diam. Kad rumah dikeluarkan, pintu dibuka.
 Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada  kawan sekeliling. Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat  perbincangan, dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.
 "Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'," Saya  memulakan bicara.
 "Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.
 "Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan  'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya.  Semua pun nak beri arahan,"
 "Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini, kalau nak minta  tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan,  "Please". Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan  guna juga perkataan "Please" tu."
 Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa  perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam  menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.
 Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau  susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.
 Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri.  Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu.  Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada  orang lain.
 Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam  komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu  ditampung oleh individu yang lain.
 "Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula."  Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan  sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat  yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau  difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.
 Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima  kasih' tidak dilafazkan.
 Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah  membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat  perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?
 Orang berbudi, kita berbahasa..kan?
 Tahun lepas banyak turning point kepada diri. Salah satunya  adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan  menaiki bas.
 Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu.  Dikatakannya, "University."Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum,  sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut  berkata, "Sorry?" Sambil air mukanya berubah. Rakan saya mengulang  perkataan yang sama, "University." Pakcik tersebut,"Again?"
 Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati, "Eh, teruk  sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak  dapat nak identify?"
 Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak  berubah, tetap tersenyum. Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut  mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan  tersebut.
 Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa  pakcik tersebut marah? Apa yang kami buat?
 Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya. Rakan saya berkata, "Mesti  sebab kita tak guna perkataan 'please'.
 Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."
 Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap,  sambil berfikir. Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah  diberikan oleh Allah SWT.
 Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam  kehidupan seharian, bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan  amalkan nilai dan adab."
 Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah  'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa  mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.
 Marah tiada, tapi terkejut. Langsung, bersyukur kepada Allah SWT yang  mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup. Erti hidup yang  sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling  yang telah memberi khidmat dan bantuan.
 Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup  sehari-hari! Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT  perlu untuk kita meminta!
 Manners are not born with us, they are acquired.
Source:http://www.iluvislam.com/inspirasi/kembara-hidup/936-kehebatan-perkataan-tolong-dan-terima-kasih.html