Bismillahhirrahmanirrahim..

Sabar... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada  diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam  kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia  hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.
    Dengan sifat sabar ini,  seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan  dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.
 Dengan sifat sabar ini,  seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika  kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana  mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.
 Dengan sifat sabar ini,  hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam  bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa  kecil hati.
 Dengan sifat sabar ini,  ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui  pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.
 Dengan sifat sabar ini juga,  suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap  pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata  orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.
 Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada  langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.
 Tanpa sifat sabar, bilangan  guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi  guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa  marah dan sedih di hati.
 Tanpa sifat sabar,  anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih  sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam  sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.
 Tanpa sifat sabar,  hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana  setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing  dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada  dan saling memaafkan.
 Tanpa sifat sabar,  tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup  menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji  dengan kesukaran.
 Tanpa sifat sabar,  alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar  dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama  lain.
 Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
 Maka bersabarlah  (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara  kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Ma'aarij:ayat 5)
 Ya, saya suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan  sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana  Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran  yang baik.
 Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit  sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh.
 " Asyik sabar je, penat dah sabar ni!"
 Kita tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali  kita bersabar dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat  apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.
 Apabila kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang  tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan  ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang  menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan.  Percayalah dengan  sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar kita telah menyelamatkan  banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini  kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini  kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar  untuk menjadi kehidupan harmoni.
 Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan,  sama ada nafsu ataupun iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah  iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu. Kita yang perlu  menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus  marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar.  Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan  dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi  kita bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan  negatif pada kehidupan kita ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk  bersabar, insyaAllah kita diberi ketenangan untuk membantu kita  mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.
 Saya bagi satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani  kehidupan dengan seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri.  Setiap tindakannya pasti memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa  menjadi mangsanya. Setiap perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat  kita berkecil hati. Disini, anda hanya ada dua pilihan, memilih untuk  terus bersabar dan bertahan sepanjang anda menjalani kehidupan  dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya akibat sakit  hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda mampu  menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih  untuk bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam  hubungan persahabatan itu sendiri.
 Namun sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita  bukan malaikat untuk terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar  manusia itu ada juga batasnya dan kadang-kadang orang yang paling banyak  bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya  fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika kita  jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu  berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang  teraniaya itu.
 Sebelum kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang  yang dibunuh itu.
 Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang  lain, cuba bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.
 Jika kita mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin  manusia tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.
 Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia  perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari  dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah  dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana  ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami,  cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur  dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang  lain tidak mencari salah kita.  Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan  juga untuk kamu wahai sahabat.
Sumber:  
http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1877-sabar-itu-perlu-setiap-masa.html